Semua negara mempunyai undang-undang tertentu mengenai keselamatan jalan raya. Ini juga termasuk tentang undang-undang berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol. Di Jepun juga, terdapat undang-undang yang begitu ketat dan teratur tentang keselamatan jalan raya, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan pemanduan dalam keadaan mabuk, atau di bawah pengaruh alkohol.
Pengenalan Sistem Lesen di Jepun
Sebelum kita kupas dengan lebih lanjut mengenai hukuman terhadap pemandu mabuk, kita perlu melihat dahulu tentang sistem perlesenan kenderaan di Jepun.
Di Jepun, sistem perlesenan kenderaan menggunakan sistem markah atau di-merit, di mana setiap kesalahan lalu lintas mempunyai markah tersendiri. Setiap pemandu bermula dengan markah kosong, dan markah akan diberikan sekiranya pemandu ditangkap ketika melakukan kesalahan lalu lintas. Sebagai contoh, markah bagi kesalahan pemanduan melebihi 20km/j dan kurang 25km/j daripada had kelajuan adalah dua markah. Bermaksud, markah pemandu akan menjadi 2 sekiranya ditangkap memandu dengan kelajuan 82km/j di kawasan 60km/j.
Secara amnya, markah akan terkumpul selama 3 tahun dari setiap kesalahan. Sekiranya kesalahan pertama sebanyak dua markah dikenakan pada Oktober 2022, dan kesalahan kedua sebanyak satu markah dikenakan pada Januari 2023, jumlah markah yang terkumpul adalah tiga markah. Markah ini akan dikira sehingga Oktober 2025, dan berkurang menjadi satu markah pada November 2024. Markah akan menjadi kosong sekiranya tiada kesalahan baru sehingga Januari 2025.
Markah Kesalahan Lalu Lintas
Markah untuk setiap kesalahan ditetapkan oleh Jabatan Polis dengan terperinci. Pemandu telah diperkenalkan dengan sistem markah ini di kelas memandu, dan perlu menduduki ujian teori yang mana silibus berkaitan sistem markah juga termasuk dalam kandungan ujian. Jadi, tidak ada alasan bagi pemandu untuk mengatakan mereka tidak tahu tentang perkara ini.
Warganegara Malaysia yang telah mendapatkan lesen pemanduan Jepun melalui ujian praktikal harus berhati-hati dan ambil tahu tentang sistem markah ini.
Markah bagi setiap kesalahan adalah seperti berikut. Jadual ini dapat disemak di laman web rasmi Jabatan Polis Jepun. Rujuk di sini (Bahasa Jepun sahaja).
Penggantungan atau Pembatalan Lesen
Markah yang dikenakan mempunyai maksudnya tersendiri di mana denda berat akan dikenakan sekiranya markah terkumpul melebihi aras tertentu. Lesen akan digantung selama 30 hari untuk 6 markah, 60 hari untuk 9 markah, dan 90 hari untuk 12 markah. Namun, sekiranya markah terkumpul adalah sehingga 15 markah, lesen akan dibatalkan selama 1 tahun. 2 tahun untuk 25 markah, 3 tahun untuk 35 markah, dan 4 tahun untuk 40 markah. Harus diingatkan bahawa denda-denda lain seperti wang tunai atau penjara juga akan dikenakan setimpal mengikut kesalahan.
Contoh piawai markah di atas hanyalah untuk pemandu yang mempunyai rekod bersih. Bagi pemandu yang pernah mendapat digantung atau dibatalkan, piawaian adalah berbeza seperti jadual di bawah.
Penggantungan lesen adalah berbeza dengan pembatalan. Sekiranya digantung, lesen anda masih sah, namun tidak boleh diguna pakai selama tempoh penggantungan. Untuk pembatalan pula, anda harus mendapatkan lesen yang baru selepas tempoh pembatalan tamat.
Denda Pemandu Mabuk
Polis di Jepun sangat tegas berkenaan pemandu mabuk, atau di bawah pengaruh alkohol. Pelbagai cara dipakai oleh pihak polis untuk menangkap pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan ini. Antaranya, polis akan mengadakan sekatan jalan raya dan memeriksa kandungan alkohol dalam badan untuk setiap pemandu. (Di Jepun, kandungan alkohol dalam badan yang dibenarkan hanyalah 0.03%) Polis juga melalukan rondaan dan akan menahan pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol. Lebih hebat lagi, polis akan bersembunyi di hadapan ”izakaya” (居酒屋:restoran untuk minum minuman keras), dan memantau pemandu yang berpotensi memandu dalam keadaan mabuk.
Pemanduan secara mabuk merupakan salah satu penyumbang besar bagi kadar kemalangan di Jepun. Bagi tahun 2021, sebanyak 2198 kes kemalangan yang melibatkan pemanduan mabuk, dan daripada itu sebanyak 6.9% atau 152 melibatkan kematian. Disebabkan ini, undang-undang yang ketat akan dikenakan tanpa kompromi sekiranya ditangkap. Mari kita lihat tentang denda-denda tersebut.
Markah
Seperti yang telah dikongsikan di atas, markah tertinggi sekiranya ditangkap memandu secara mabuk adalah 35 markah. Perlu diingatkan bahawa, markah ini hanyalah untuk memandu secara mabuk. Sekiranya pemanduan mabuk itu melibatkan kemalangan, atau kematian, atau langgar lari, denda-denda berkaitan dengan kesalahan yang disebutkan juga akan dikenakan.
Ini bermaksud, bagi pemandu yang mempunyai rekod bersih dan ditangkap dengan pemanduan mabuk, lesen akan dibatalkan dan hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen barus selama 3 tahun.
Wang Tunai atau Penjara
Selain daripada pembatalan lesen, pemandu juga bakal dikenakan denda maksima 1 juta yen (≈RM33,000) atau penjara maksima 5 tahun. Sekiranya pemanduan mabuk ini melibatkan kemalangan dengan manusia, denda akan menjadi lebih berat. Bagi kes kemalangan yang menyebabkan kecederaan, denda tambahan iaitu penjara maksima 15 tahun. Bagi kes kemalangan yang menyebabkan kematian, penjara minima 1 tahun.
Selain pemandu, penumpang juga akan dikenakan denda. Ini kerana penumpang akan dianggap sebagai rakan jenayah kerana membenarkan pemandu untuk memandu dalam keadaan mabuk. Denda bagi penumpang ialah maksima 0.5 juta yen (≈RM16,500) atau penjara maksima 3 tahun.
Sekiranya kenderaan yang digunakan oleh pemandu adalah kenderaan yang dipinjam. Peminjam juga bakal berhadapan dengan denda. Denda bagi peminjam kenderaan adalah maksima 0.5 juta yen (≈RM16,500) atau penjara maksima 5 tahun. Denda bagi peminjam kenderaan adalah lebih berat daripada penumpang kerana ianya seolah-olah mengesyorkan pemandu untuk melalukan jenayah.
Ingat! Denda yang dikenakan bukan hanya kepada pemandu, tetapi juga kepada penumpang dan peminjam kenderaan!
Pampasan
Sekiranya pemanduan secara mabuk itu melibatkan kemalangan, pemandu juga perlu membayar pampasan yang setimpal dengan kecederaan atau kematian. Tiada kadar tetap kerana ianya tertakluk kepada keadaan setiap kes. Namun secara amnya, pampasan bagi kes kemalangan yang menyebabkan kematian adalah sebanyak RM600 ribu sehingga RM1 juta.
Denda Lain
Bagi pemandu yang bekerja di syarikat-syarikat swasta, denda daripada syarikat juga mungkin akan dikenakan terhadap pemandu. Antara contoh denda yang dikenakan adalah buang kerja, pengurangan gaji, cuti tanpa gaji dan sebagainya. Hal ini kerana, bagi sesetengah kes nama syarikat tempat pemandu bekerja akan disiarkan di media massa. Ini akan menyebabkan imej syarikat tercalar dan akan memberi impak terhadap pengurusan syarikat.
Penutup
Jepun adalah sebuah negara yang sangat ketat dengan pelbagai peraturan. Salah satu daripada peraturan atau undang-undang yang ketat tersebut adalah berkaitan dengan jalan raya. Walaupun pelbagai cara telah diambil oleh kerajaan Jepun untuk mengawal keselamatan lalu lintas, kes kemalangan berkaitan pemanduan secara mabuk masih tinggi. Oleh sebab itu juga, kerajaan dan polis Jepun akan terus memperketatkan kawalan bagi mengatasi kes-kes sebegini.
Kalau sesiapa yang ingin memandu di Jepun, pastikan anda mempunyai pengetahuan yang jelas tentang peraturan lalu lintas di itu.
Comment